KUALA LUMPUR, 17 Julai – Seorang penjaga stor ditahan selepas disyaki memukul isterinya yang sarat hamil lebih tujuh bulan, akibat perselisihan faham di sebuah apartmen di Rawang, dekat sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari di Rawang dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Menurut Arifai, dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, mangsa ditumbuk dan perutnya ditekan dengan lutut oleh suspek selepas berlaku perselisihan faham mengenai hal keluarga.
“Mangsa yang berusia 29 tahun dibawa ke hospital sebelum membuat laporan polis. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
— BERNAMA