
Suami Disaran Berpoligami Bendung Jangkitan HIV – Timbalan Gabenor Jawa Barat
Timbalan Gabenor Jawa Barat, Uu Ruzhanul Ulum menyarankan agar para suami dibenarkan untuk berpoligami bagi mengurangkan masalah jangkitan HIV dalam kalangan masyarakat.
Memetik laporan CNN Indonesia, Uu juga meminta lelaki yang sudah berkahwin supaya berhenti melakukan seks bebas kerana berpotensi menularkan HIV kepada isteri dan anak mereka.
“Agama juga memberi lampu hijau asalkan bersedia untuk berlaku adil, kenapa tidak? Lebih baik diberikan kebebasan untuk berpoligami,” katanya.
Menurutnya lagi, golongan suami mesti berkomunikasi dengan isteri jika merasakan bahawa dirinya mempunyai kebolehan untuk berpoligami.
“Saya akan rujuk dengan Gabenor untuk adakan program (kahwin besar-besaran) bagi mereka yang tidak mempunyai wang. Kerajaan mesti menyahut kehendak masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, berdasarkan data Suruhanjaya AIDS Bandung (KPA), terdapat 5,943 kes positif HIV di Bandung sepanjang tempoh 1991 hingga 2021. Daripada jumlah itu, 11 peratus daripadanya adalah suri rumah.
Manakala, 6.9 peratus atau 414 kes pula melibatkan pelajar.
Salah satu punca penularan penyakit itu dipercayai kerana suami melakukan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pekerja seks.
Timbalan Gabenor itu berkata pendidikan berkaitan seks juga perlu diberikan secara lebih serius kepada generasi muda bagi mengelak perbuatan terlarang itu.
BACA: Lelaki Disahkan Positif Covid-19, Cacar Monyet & HIV Secara Serentak Lepas Pulang Dari Bercuti
Sumber: CNN Indonesia