isu cikgu fadli
Gambar: Bernama

Status Isu Cikgu Fadli: Keputusan Lembaga Tatatertib Diserahkan Kepadanya Esok

Florence Nuar

Putrajaya – Status dakwaan salah laku seorang guru matematik, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh bakal terjawab apabila keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan diserahkan kepadanya esok.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin seperti yang dilapor Sinar Harian, guru tersebut bakal mengetahui keputusan berkenaan menerusi makluman melalui ketua jabatan.

“Persidangan Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat dan esok urusetia akan disampaikan keputusannya kepada Cikgu Mohd Fadli,” katanya kepada pemberita Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang perkembangan terkini kes tersebut selepas hadir ke program Sukan Touch di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) hari ini.

Imbas kembali, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali memaklumkan pada semalam bahawa persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijalankan hari ini.

Persidangan tersebut dijalankan rentetan daripada surat representasi yang dikemukakan oleh Cikgu Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Terdahulu, mengikuti perkongsian Cikgu Mohd Fadli menerusi laman Facebook miliknya sebelum ini, beliau mendedahkan bahawa dirinya akan berdepan dengan tindakan dibuang kerja atau penurunan pangkat.

Hal tersebut demikian kerana tindakan beliau yang mengemukakan dakwaan berkaitan silibus pembelajaran yang dikatakan agak aras tinggi.

Rentetan daripada isu yang dibangkitkan oleh Cikgu Mohd Fadli, pihak kementerian telah mengambil tindakan seperti penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar iaitu bermula 6 Mac lalu.

“Berkaitan lokar, sehingga kini hampir 40 peratus lokar sudah dipasang di sekolah dan ia masih dalam proses pemasangan seperti mana kita janjikan sebelum ini,” kata Mohd Radzi.

Malah difahamkan, silibus yang digunakan di sekolah adalah silibus yang diperkenalkan sejak tahun 2007 lagi.

“Telah saya jelaskan banyak kali bahawa KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, semua pihak diingatkan agar isu tersebut tidak dijadikan ‘modal’ untuk kempen pilihan raya.

“Nasihat saya kepada ahli politik, jangan politikkan isu ini kerana kementerian sentiasa semak silibus ini dan mahukan yang terbaik,” katanya.

BACA JUGA: Isu Cikgu Fadli: ‘Ia Bukanlah Surat Bawa Maksud Hukuman Telah Dijatuhkan’ – Ketua Pengarah Pendidikan KPM

Sumber: Sinar harian