Tiada Kategori

Starbucks Malaysia Jalin Kerjasama Strategik Dengan Tourism Malaysia Untuk Visit Malaysia 2026

Nur Farra

Starbucks Malaysia bersama Tourism Malaysia hari ini melancarkan kerjasama strategik sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dalam satu acara pra-pelancaran di Starbucks Reserve Shoppes, Four Seasons Place.

Kerjasama ini bakal memperkenalkan barangan edisi terhad, minuman istimewa, serta hidangan berinspirasikan cita rasa tempatan. Semua inisiatif ini dirangka bagi meraikan kekayaan budaya Malaysia dan membawa kempen VM2026 ke pentas dunia.

Sebagai jenama global yang berakar di Malaysia, Starbucks dilihat berperanan menghubungkan pengalaman tempatan dengan khalayak antarabangsa. Kolaborasi ini juga menjadi tanda pencapaian penting kedua-dua pihak dalam mengangkat kisah, rasa, serta semangat komuniti Malaysia.

Dengan tema rasmi “Surreal Experiences”, VM2026 akan mengetengahkan keunikan Malaysia yang tiada tandingan, diwakili dua maskot beruang matahari Malaya, Wira dan Manja. Starbucks bakal melengkapkan kempen ini melalui pengalaman kopi global yang digabungkan dengan sentuhan budaya Malaysia.

Antara yang bakal diperkenalkan seperti:

  • Mulai Oktober 2025: Koleksi tumbler edisi terhad (dijual di Starbucks Reserve Shoppes Four Seasons Place, kemudian di semua lapangan terbang dan cawangan terpilih di seluruh Malaysia).

  • Minuman istimewa dengan cita rasa berani berinspirasikan tempatan.

  • Tahun 2026: Hidangan konsep bungkus sebagai penghormatan kepada juadah klasik Malaysia.

  • Koleksi keychain plushie maskot Wira & Manja.

  • Kad Starbucks edisi khas Visit Malaysia 2026, serta pelbagai lagi kejutan lain.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg Datuk Manoharan Periasamy:

“Kerjasama ini membuktikan bagaimana jenama tempatan dan antarabangsa boleh bersatu untuk menonjolkan kekayaan serta kepelbagaian Malaysia. Dengan gabungan penceritaan kreatif, jenama ikonik, dan citarasa unik Malaysia, kami yakin ia akan memberi inspirasi kepada rakyat tempatan dan pelancong antarabangsa menjelang Visit Malaysia 2026.”

Kerjasama ini juga akan menampilkan siri pelancaran berkala sepanjang 2026 bersama artis tempatan dan komuniti, bagi memastikan kempen terus segar serta dekat dengan hati rakyat. Starbucks turut merancang membuka beberapa kedai utama bertemakan budaya sebagai destinasi tumpuan pelancong dan rakyat Malaysia.

Dato’ Sydney Quays, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad berkata:

“Starbucks berbesar hati bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam inisiatif bermakna ini. Kami mahu menambah pengalaman Starbucks ke dalam perjalanan surreal VM2026, sekali gus meraikan Malaysia bersama pelanggan di sini dan di seluruh dunia.”

Kolaborasi ini menandakan permulaan perjalanan setahun penuh, dengan lebih banyak pengumuman dan pelancaran bakal menyusul menjelang VM2026.