
Kuala Lumpur, 25 Oktober 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berupa sebuah van jenazah bernilai RM129,156 kepada Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya serta agihan berjumlah RM10,000 kepada 40 orang asnaf di kawasan tersebut.
Serahan dan sumbangan yang disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semasa Majlis Serahan Sumbangan Van Jenazah kepada Madrasah Al-Khairiah bersempena Projek Road to Jannah 2.0 ini bertujuan untuk menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan masyarakat.
Sumbangan van jenazah ini adalah kesinambungan dari program pada tahun 2023 di mana SSM telah menyumbangkan 10 van jenazah berjumlah RM1.38 juta kepada 10 negeri melalui Projek Road to Jannah.

Pada tahun 2024, Projek Road to Jannah 2.0 pula diteruskan di mana empat buah van jenazah akan disumbangkan kepada beberapa institusi keagamaan termasuk Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya.
Sejak 1 Januari hingga 30 September 2024, SSM telah mengagihkan lebih RM5.9juta WZK kepada 8,806 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM437,746 melalui program CSR kepada 750 penerima yang memerlukan.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Rosli Bahari, Pengerusi Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya dan Farid Ahmad, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM, merangkap Timbalan Pengerusi JPZCSR SSM.