SSM National Conference 2024 Beri Tumpuan Mempertingkat Ketelusan & Membangun Ketahanan Korporat
KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2024 – Pada hari ini saya telah melancarkan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lebih dikenali sebagai SSM National Conference (SSMNC2024) yang dianjurkan secara dalam talian dengan rekod penyertaan lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada ahli-ahli Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati serta Afrika Selatan.
Matlamat utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat di samping membincangkan perkembangan terkini dalam perundangan yang mempengaruhi perniagaan di Malaysia bersama pakar-pakar yang diketengahkan.
SSM National Conference yang memasuki tahun ke-13 penganjuran pada 2024 telah berkembang menjadi sebuah platform utama untuk wacana dan perbincangan bagi para profesional perniagaan dan korporat.
Persidangan ini menyediakan ruang untuk peserta berinteraksi, bertukar pandangan dan mendalami aspek-aspek kritikal mengenai persekitaran perniagaan yang sentiasa dinamik dan mengalami perubahan pesat.

SSMNC2024, yang mengangkat tema “Enhancing Corporate Transparency. Building Resilience”, menampilkan 11 sesi plenari, 39 penceramah terkemuka dan 15 pempamer maya yang akan menyajikan pelbagai perspektif dan kepakaran.
Antara topik penting yang akan dibincangkan termasuklah Companies (Amendment) Act 2024: Unmasking Control, yang membahas ketelusan pemunya benefisial dan pelaksanaannya, Companies (Amendment) Act 2024: Strengthening Corporate Rehabilitation Framework, yang memfokuskan pada pengukuhan kerangka pemulihan korporat, Building Corporate Resilience in A Disruptive AI Future yang meneroka cabaran dan strategi untuk ketahanan korporat dalam era kecerdasan buatan yang mengganggu amalan sedia ada, serta Accelerating Digital Economy for SMEs yang mengkaji langkah-langkah untuk mempercepatkan ekonomi digital di kalangan perusahaan kecil dan sederhana.
Tema yang dipilih tahun ini menekankan keperluan kritikal untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang bukan sahaja telus tetapi juga bertanggungjawab.
Ketelusan bukan sekadar satu kewajipan pematuhan tetapi juga merupakan komponen strategik yang penting dalam membina daya tahan dan keberkesanan jangka panjang dalam landskap perniagaan yang semakin kompleks.
Malaysia komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Financial Action Task Force (FATF), yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Dalam konteks ini, pindaan terbaru kepada Akta Syarikat 2016, melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April 2024, menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini.

Kerangka perundangan baharu ini memperkenalkan pelbagai perubahan yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat. Pindaan ini melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta SSM untuk bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi.
Ini termasuk pengukuhan kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya, serta memastikan ketelusan yang lebih baik dalam ekosistem perniagaan dan sektor korporat.
Selain itu, kerangka perundangan ini turut memberi penekanan kepada pengawasan yang lebih ketat dan pelaporan yang lebih jelas mengenai pemunyaan benefisial, dengan tujuan untuk mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia.
Pendekatan ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global.
Perkara ini seiring dengan konsep Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Konsep ini menekankan tiga nilai teras utama: inklusiviti, integriti dan akauntabiliti, yang merupakan asas penting dalam membina sebuah masyarakat dan ekonomi yang lebih adil dan beretika.
Di bawah kepimpinan beliau, usaha-usaha untuk meningkatkan ketelusan korporat telah diberi perhatian khusus sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perniagaan dan menjamin keyakinan pelabur serta orang ramai.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System) telah dilancarkan untuk mempermudahkan proses serah simpan dan pengurusan maklumat pemunya benefisial. Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko penyelewengan dengan menyediakan platform yang efisien bagi syarikat untuk menyerah simpan maklumat penting mengenai pemilik sebenar mereka.

Sistem e-BOS bukan sahaja mempermudahkan pelaporan tetapi juga memastikan bahawa maklumat yang dikumpul adalah tepat dan terkini.
Sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka. Ini menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3%, yang merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat.
Pencapaian ini menggambarkan komitmen yang semakin mendalam daripada sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan yang ditetapkan dan menyokong usaha-usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia MADANI.