SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan dua lagi pegawai mereka kepada pihak polis bagi membantu siasatan yang membabitkan kejadian rompakan di Ampang.
SPRM menerusi satu kenyataan pada Khamis berkata, mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam membantu siasatan jenayah yang membabitkan pegawai suruhanjaya tersebut.
“SPRM sahkan telah serah dua lagi pegawai bagi membantu siasatan tersebut. “Sekali lagi, SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan,” katanya.
Laporan Sinar Harian pada Selasa, tempoh reman terhadap pegawai SPRM yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan melibatkan kerugian hampir RM1 juta itu disambung lima hari sehingga 20 Disember.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, seramai 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian