sorok minyak pasar mini
Gambar: Astro Awani

Sorok Minyak Masak Paket & Gula, Pemilik Pasar Mini Berdepan Tindakan

Iqbal Yasir

Sorok Minyak Masak Paket & Gula, Pemilik Pasar Mini Berdepan Tindakan

KAMPAR — Pemilik sebuah pasar mini berdepan tindakan gara-gara menyorokkan minyak masak paket dan gula, lapor Astro Awani.

Dalam satu operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pagi semalam, premis berkenaan difahamkan enggan menjual barangan kawalan itu terhadap warga tempatan.

Menurut Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, pada sekitar jam 10.15 pagi, anggotanya telah melakukan operasi ke pasar mini terbabit. Ia selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berhubung keengganan pasar itu menjual barangan kawalan tersebut kepada mereka.

Tambah Datuk Kamalludin, operasi yang dilaksanakan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak di bawah Op Samar telah melakukan uji beli di premis tersebut.

“Melalui uji beli yang dijalankan mendapati seorang pekerja pasaraya memaklumkan bahawa minyak masak paket satu kilogram (1kg) tiada di premis tersebut apabila diminta.

“Curiga dengan kenyataan pekerja tersebut, sepasukan anggota Penguat Kuasa beruniform telah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pasar mini tersebut dengan dihadiri oleh seorang wanita berumur 48 tahun yang disyaki pemilik premis,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA JUGA: Penemuan Mayat Zayn Rayyan: Kita Dah Lakukan Pencarian Di Tempat Sama Tapi Tak Jumpa – Polis

Katanya lagi, sejumlah minyak masak paket 1kg dan gula pasir kasar jenis 1kg yang disembunyikan di dalam premis tersebut berjaya ditemui setelah hasil pemeriksaan dilakukan.

Mengulas lebih lanjut, pemilik pasar mini itu juga gagal memberikan keterangan berhubung perkara itu ketika ditanya.

Berikutan itu, sebanyak 90 unit minyak masak paket jenis 1kg dan 216 unit gula pasir kasar jenis 1kg bernilai sekitar RM840.60 telah disita pihak KPDN.

Menurut Datuk Kamalludin, selain dua barangan tersebut, salinan lesen runcit barang kawalan, lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan lesen Majlis (PBT) serta dokumen urus niaga yang berkaitan antara yang disita.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran pengawal atau mana-mana pengawal bekalan yang diberi kuasa oleh pengawal secara bertulis.

Sumber: Astro Awani