PUTRAJAYA, 14 Okt – Prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di mukim Klang, Selangor sebelum ini terbatal.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, SOP tersebut kini sudah diselaraskan dengan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor.
Dalam pada itu tambahnya, sebarang kemaskini mengenai peraturan solat di masjid pula akan diumumkan oleh pihak berkuasa agama negeri dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan PKP Pemulihan secara sidang video hari ini.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk menangguhkan solat Jumaat, solat fardhu lima waktu berjemaah dan aktiviti-aktiviti imarah di semua masjid dan surau sekitar Selangor yang berkuatkuasa mulai Subuh tadi.
Ia dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri sebagai usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
Sebelum itu juga, Majlis Keselamatan Negara juga bertindak melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tengah malam tadi sehingga 27 Oktober ini.
Sumber: Ismail Sabri