abang long fadil 3
Gambar: petikan trailer/AWANI

‘Sneak Preview’ Abang Long Fadil 3 Semalam Raih RM1.2 Juta, ‘Aura’ Jozan Kembali?

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Sebuah sekuel filem yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia, iaitu Abang Long 3 telah meraih kutipan sebanyak RM1.2 juta dalam sesi ‘sneak peak‘ yang dilangsungkan semalam. Filem bergenre aksi komedi ini mula ditayangkan di pawagam bermula pada hari ini.

Abang Long Fadil 3 merupakan susulan daripada filem-filem prekuelnya yang pernah ditayangkan di skrin pawagam pada 2014 dan 2017. Filem-filem ini merupakan spin off bagi salah satu watak KL Gangster (2011) yang dikenali ramai, iaitu Fadil yang ingin keluar dari dunia gengsterisme.

Dengan kos pembikinan sebanyak RM6 juta, Abang Long Fadil 3 merupakan filem terbaharu arahan pengarah Syafiq Yusof, yang sebelum ini pernah mengarah prekuel bagi filem ini iaitu Abang Long Fadil (2014) dan Abang Long Fadil 2 (2017).

Seterusnya, filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini menampilkan barisan pelakon yang mantap, iaitu Zizan Razak yang sudah semestinya sinonim dengan watak Fadil itu sendiri, Johan Raja Lawak, Elizabeth Tan, Maya Karin, Dato AC Mizal, Ozlynn Waty dan lain-lain lagi.

Filem ini mengisahkan mengenai Fadil, lakonan Zizan Razak kembali untuk beraksi sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS; National Secret Service), dalam misinya untuk menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han yang dilakonkan oleh Johan dan pada yang sama, dia diburu oleh musuh lamanya, King Cobra (Dato AC Mizal).

Kredit: Astro Awani

Di samping itu, filem ini menampilkan satu keistimewaan yang mana kita dapat melihat gandingan duo pelawak yang pernah mencetus fenomena komedi tanah air, iaitu Jozan dengan ahlinya yang terdiri daripada Zizan Razak dan Johan.

Gandingan lawak mereka dalam filem ini sudah pasti dapat mengubati rasa rindu yang mendalam, memberi nilai sentimental serta mengimbau nostalgia bagi mereka yang mengikuti Jozan sejak era Raja Lawak 1 pada 2007 dahulu.

Sentuhan magis Syafiq Yusof

Selaku adik kepada pengarah aksi terkenal, Syamsul Yusof, ‘taji’ dan sentuhan magis Syafiq dalam idea pembikinan filem-filem aksi juga tidak harus dipandang enteng. Terdahulu, beliau juga pernah mengarah beberapa filem tempatan yang lain seperti Villa Nabila (2015) dan Desolasi (2016).

Untuk rekod, Syafiq Yusof pernah merangkul beberapa anugerah seperti Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke-25 dan Pengarah Paling Termuda oleh The Malaysia Book of Records. Beliau juga menerima gelaran Pengarah Terbaik bagi Anugerah PROFIMA 2017 untuk filem Desolasi (2016).

Waktu tayangan tergendala disebabkan COVID-19

Difahamkan, filem ini sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun ditangguhkan berikutan pandemik. Kemudian, Datuk Yusof Haslam mengumumkan bahawa filem ini akan ditayangkan bersama-sama dengan Polis EVO 3, juga arahan Syafiq pada 2021, namun rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Pada 2 Ogos lepas, trailer rasmi filem ini telah dikeluarkan di saluran Youtube rasmi Astro Shaw beserta poster keluaran tayangan rasminya. Filem ini juga memiliki lagu OST tersendiri yang bertajuk Payung, nyanyian Elizabeth Tan dan Zizan Razak.

Berbalik kepada konteks, dengan catatan kutipan sebanyak RM1.2 juta seawal sehari pada sesi sneak preview, adakah filem Abang Long Fadil 3 ini berjaya membuktikan aura gandingan lawak Jozan kembali menggeletek hati kita? Sama-sama kita tonton nanti.

Sumber: Astro Awani via Facebook / Wikipedia