Skuasy Disenaraikan Dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan skuasy disenaraikan dalam program Sukan Olimpik edisi Los Angeles 2028 (LA28), lapor World Squash.
Difahamkan, skuasy, besbol/sofbol, kriket dan dua sukan tradisi Amerika Syarikat (AS) iaitu flag football dan lacrosse adalah lima sukan baharu yang diluluskan oleh Lembaga Eksekutif menjelang sesi IOC di Mumbai, India.
Presiden IOC Thomas Bach berkata kemasukan lima sukan itu membolehkan pergerakan Olimpik melibatkan diri dengan atlet baharu dan komuniti peminat di AS dan di seluruh dunia.
“Pemilihan lima sukan baharu ini adalah selaras dengan budaya sukan Amerika dan akan mempamerkan sukan ikonik Amerika kepada dunia sambil membawa sukan antarabangsa ke AS.
“Sukan ini akan menjadikan Sukan Olimpik LA28 unik,” katanya.
Gembira skuasy tersenarai dalam Sukan Olimpik LA28
Keputusan itu juga disambut baik oleh Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), Skuasy AS dan Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Penyertaan skuasy dalam Sukan Olimpik LA28 akan membantu IOC dan LA28 memajukan misinya untuk menyampaikan pengalaman yang tiada tandingan untuk atlet, peminat dan seluruh komuniti sukan.
Presiden WSF Zena Wooldridge menzahirkan rasa gembira atas penyertaan skuasy dalam sukan tersebut.
BACA: Skuasy Dalam Senarai Sukan Olimpik Los Angeles 2028
“Skuasy ialah sukan yang sangat dinamik, pelbagai dan sangat sesuai untuk Sukan Olimpik.
“Semua yang terlibat dalam sukan (skuasy) sangat gembira kerana termasuk dalam LA28 dan kami berharap untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman Sukan Olimpik yang tiada tandingannya.” katanya.
Manakala, Ketua Eksekutif Skuasy AS Kevin Klipstein berkata ia adalah satu kejayaan besar untuk memasuki Sukan Olimpik LA28 selain mahu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sukan tersebut.
“Akses kepada sukan dan peluang yang disediakannya akan terus meningkat untuk semua peringkat umur, kebolehan dan latar belakang,” ujarnya.
Sementara itu, butiran tambahan mengenai jadual sukan Sukan Olimpik LA28 akan diumumkan oleh Jawatankuasa Penganjur LA28 kelak.
Skuasy dan flag football akan dipertandingkan buat julung kalinya manakala besbol/sofbol, kriket dan lacrosse pula dipertandingkan semula dalam temasya terbesar dunia itu.
Sumber: World Squash, Yahoo