Skim Rel Akhir Projek Lingkaran Laluan MRT3 Rasmi Dapat Kelulusan
Skim Rel Akhir Projek Lingkaran Laluan MRT3 telah mendapat kelulusan secara rasmi dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dalam satu pengumuman di Facebook berkata kelulusan ini menandakan kejayaan yang besar bagi projek terbabit.
Dalam pada itu, syarikat terbabit turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan maklum balas mengenai projek tersebut.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada 45,000 rakyat Malaysia yang telah memberikan maklum balas sepanjang Tempoh Pemeriksaan Awam, dengan 93.3% menyatakan sokongan padu terhadap MRT3,” katanya.
Pihaknya juga berkata susulan kelulusan itu, pengambilan tanah juga dikurangkan daripada 1,012 kepada 690 lot. Selain itu, Penempatan stesen dan jejambat ditambah baik sepanjang jajaran.
“Dengan kelulusan yang telah diberikan, proses pengambilan tanah akan bermula, membuka jalan kepada sambungan yang lebih baik di seluruh Lembah Klang.
“Laluan Lingkaran sepanjang 51.6 km ini akan diintegrasikan dengan rangkaian MRT, LRT, KTM & Monorel sedia ada. Ia menampilkan 10 stesen pertukaran untuk perjalanan lebih lancar di sekitar Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd