siti nurhaliza
Gambar: CNA

Siti Nurhaliza Tersenarai ‘Top 30’ Penyanyi Terima Anugerah Terbanyak Sepanjang Zaman

Faiz Mustafa

Datuk Seri Siti Nurhaliza merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Figura ini juga sering disebut-sebut sebagai penyanyi nombor satu negara.

Terkini, beliau yang juga cukup dikenali dengan gelaran ‘Tok Ti’ sekali lagi menaikkan nama Malaysia apabila tersenarai sebagai salah seorang penyanyi paling banyak terima anugerah dan trofi sepanjang zaman.

Memetik laporan Awani, penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu diletakkan pada tangga ke-27 dalam senarai 100 penyanyi terkenal dunia oleh portal The Artist Museum dengan rekod 329 anugerah.

Lebih menarik, nama Tok Ti berada di hadapan daripada sejumlah nama-nama besar penyanyi antarabangsa lain seperti Justin Timberlake, Usher, Nicki Minaj, Katy Perry, Celine Dion, Bruno Mars dan Jennifer Lopez.

Dalam senarai itu, penyanyi antarabangsa yang menduduki tempat teratas (nombor satu) adalah ‘raja pop’ dunia, Michael Jackson dengan 1,003 anugerah, diikuti Beyonce dengan 896 anugerah dan Taylor Swift 867 anugerah.

Nama-nama penyanyi lain yang tersenarai seterusnya adalah BTS (784), Justin Bieber (720), Whitney Houston (714), Lady Gaga (566), Ed Sheeran (561), Elvis Presley (526) dan Rihanna dengan 496 anugerah.

Walaupun menduduki tempat ke-27, namun takhtanya sebagai penyanyi Malaysia yang paling banyak menerima anugerah di peringkat industri tanah air masih kekal sehingga kini.

Untuk rekod, penyanyi kesayangan Malaysia ini juga pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Record pada tahun 2021 lalu atas kecemerlangannya dalam industri seni muzik.

Sumber: Awani, The Artist Miseum