
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Besraya (M) Sdn Bhd akan melaksanakan pengurangan fasa lampu isyarat dari tiga kepada dua fasa di persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama bagi memberi laluan kepada kerja-kerja akhir pembinaan Jejambat Hubungan Kuchai (Kuchai Link 2) bermula Sabtu ini (19 Sept).
Besraya, pengendali syarikat konsesi Lebuhraya Sungai Besi (Lebuhraya Besraya), dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pelaksanaan dua fasa itu melibatkan penutupan laluan di persimpangan lampu isyarat dari arah Salak Jaya ke Sri Petaling dan laluan dari arah Taman Salak Selatan ke Salak Jaya atau pusat bandar.
“Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada fasa pembinaan projek yang diharap dapat menambah baik pergerakan aliran trafik di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengguna dari arah Taman Salak Selatan perlu membuat pusingan-U di persimpangan lampu isyarat Kuchai Entrepreneur untuk menuju arah Salak Jaya dan pusat bandar, manakala pengguna dari arah Salak Jaya dan Kuchai Lama yang ingin ke Sri Petaling perlu membuat pusingan-U di KM10.5 arah Selatan.
Dalam pada itu, Besraya juga membuat penutupan pusingan-U di KM10.5 arah Utara melibatkan pergerakan trafik dari arah Pekan Sungai Besi dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban ke Kampung Malaysia bagi membantu melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak.
Besraya menasihatkan pengguna lebuh raya agar mematuhi semua arahan papan tanda keselamatan dan tanda arah bagi mengelak sebarang kekeliruan.
Maklumat lanjut boleh hubungi Besraya infoline di 1-800-88-0999.
— BERNAMA