
Siri Letupan Baharu Dilapor Gegar Tehran
TEHRAN — Letupan kuat telah menggegarkan ibu negara Iran, Tehran, awal pagi Selasa, hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata berperingkat dijadualkan bermula, lapor AFP.
Kejadian itu dilaporkan oleh wartawan agensi berita antarabangsa AFP yang berada di lokasi kejadian.
Letupan berlaku sekitar jam 3:00 pagi waktu tempatan (2330 GMT), menggegarkan kawasan utara dan tengah bandar raya tersebut dengan beberapa pesawat pejuang turut dikesan berlegar di ruang udara.
Menurut laporan, letupan berlaku hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata berperingkat dijadualkan bermula sekitar jam 0400 GMT, dengan Iran menghentikan semua operasi selepas pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sebelum ini, Trump mengumumkan bahawa Iran dan Israel telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata secara berperingkat bermula Selasa, yang dijangka akan membawa kepada “penamatan rasmi” konflik antara kedua-duanya.
“Telah dipersetujui sepenuhnya antara Iran dan Israel bahawa akan berlaku GENCATAN SENJATA SEPENUHNYA,” tulis Trump pada Isnin malam menerusi platform Truth Social miliknya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Iran atau Israel bagi mengesahkan persetujuan tersebut.
Menurut perincian yang dikemukakan oleh Trump, gencatan senjata itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 jam, bermula sekitar jam 0400 GMT (12pm waktu Malaysia) pada Selasa.
Tambahnya, Iran juga dijangka menghentikan semua operasinya secara unilateral terlebih dahulu, diikuti Israel 12 jam kemudian.
“Apabila tiba jam ke-24, penamatan rasmi perang selama 12 hari itu akan diraikan oleh seluruh dunia,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk kekal “aman dan saling menghormati” sepanjang setiap fasa proses tersebut.
Pengumuman Trump itu dibuat hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera AS di Qatar, yang digambarkannya sebagai tindak balas “lemah” terhadap serangan udara AS ke atas tapak nuklear Iran pada hujung minggu lalu.
Sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran pada 13 Jun, kedua-dua negara telah saling membalas serangan udara secara berterusan.
Sumber: AFP