
Singapura Tak Lagi Wajibkan Pemakaian ‘Mask’ Dalam Ruangan Tertutup
Singapura dilaporkan akan melonggarkan sekatan penggunaan pelitup muka di ruang atau kawasan tertutup bermula 29 Ogos ini, lapor South China Morning Post.
Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata bahawa orang ramai tidak lagi wajib memakai pelitup muka dalam ruangan tertutup.
Namun, ia tidak termasuk bagi pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan seperti hospital dan rumah penjagaan.
Manakala, pemakaian pelitup muka dalam kenderaan persendirian termasuk bas sekolah dan teksi adalah atas pilihan masing-masing.
Langkah itu menjadikan Singapura antara negara pertama di Asia yang memudahkan pemakaian topeng di dalam ruangan tertutup.
Pun begitu, Wong yang juga Menteri Kewangan menggesa warga emas dan mereka yang lemah imun supaya terus memakai pelitup muka dalam kawasan tertutup yang sesak untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti virus itu.
Turut bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini adalah Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung yang memaklumkan mengenai rancangan Singapura untuk menangani gelombang COVID-19 pada masa depan.
Beliau menunjukkan bagaimana negara tersebut menjangkakan lonjakan kes menjelang akhir tahun ini.
Susulan itu, kapasiti di hospital akan ditingkatkan dan akan menambah baik liputan vaksinasi.
Walaupun kira-kira 70 peratus penduduk Singapura telah dijangkiti COVID-19, Ong menyatakan bahawa imuniti yang diperoleh daripada jangkitan masa lalu akan berkurangan dari semasa ke semasa.
“Vaksinasi sangat berkesan dalam melindungi daripada penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital,” katanya.
Sementara itu, jawatankuasa kerajaan yang mengkaji vaksinasi kini mengesyorkan orang ramai yang berumur 60 tahun ke atas perlu menerima suntikan penggalak COVID-19 yang kedua.
Manakala kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun disyorkan untuk menerima satu dos penggalak iaitu lima bulan selepas suntikan kedua.
Kira-kira 79 peratus daripada 5.45 juta penduduk Singapura dilaporkan telah mengambil suntikan penggalak pertama mereka.
Sumber: South China Morning Post