Gambar sekadar hiasan

Singapura Rampas 53,249 Peket Tembakau Kunyah, Tahan Lima Pemandu Lori Malaysia

Sha Rossa

SINGAPURA, 14 Sept (Bernama) — Pihak berkuasa Singapura merampas 53,249 peket tembakau kunyah yang cuba diseludup masuk ke negara ini dalam lima lori tangki bernombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas, 7 Sept lepas.

Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA), sebanyak 26 bungkusan yang mengandungi tembakau kunyah itu dijumpai di dalam lima lori berkenaan.

“Tembakau kunyah yang dirampas itu diserahkan kepada HSA dan kesemua lima lelaki pemandu Malaysia ditahan oleh HSA untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kira-kira 6.45 pagi, pegawai ICA dan Kastam Singapura (SC) mengarahkan dua lori tangki bernombor pendaftaran Malaysia yang tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas untuk pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menjumpai bungkusan hitam yang mengandungi peket tembakau kunyah disembunyikan di dalam ruang enjin dan kabin tempat tidur pemandu lori terbabit.

Berikutan penemuan itu, kenyataan itu memberitahu pegawai ICA meningkatkan pemeriksaan ke atas lori tangki lain yang menunggu untuk diperiksa.

Menurutnya, beberapa bungkusan mengandungi tembakau kunyah ditemukan di dalam tiga lagi lori tangki bernombor pendaftaran Malaysia.

Penjualan dan pengimportan tembakau kunyah dilarang di Singapura.

Mereka yang didapati mengimport tembakau kunyah boleh dikenakan denda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua dan seterusnya.

Kesemua tembakau kunyah yang diimport akan disita, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA