Singapura telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan Varian of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti.
Menurut kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada hari ini, penyenaraian itu telah dipersetujui menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Mei 2021.
Ia dilakukan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura yang melibatkan laporan kes varian Afrika B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) dan termasuklah Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1.
Ekoran itu, Sidang Khas MKN telah memutuskan bahawa semua pengembara yang masuk ke Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Periodic Communicating Arrangement (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh kerajaan bermula pada 13 Mei 2021.
“Para pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti,” kata Dr Noor Hisham menerusi kenyataan itu.
Bukan itu sahaja, Sidang Khas MKN juga telah bersetuju Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia-Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula pada 13 Mei 2021.
Justeru, pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).
Sumber: Kenyataan Akhbar Kp Kesihatan