SINGAPURA, 30 Dis — Singapura akan memperbaharui komitmen pinjamannya bagi menyokong usaha pelbagai hala untuk memperkukuh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Pihak Penguasa Kewangan Singapura (MAS), pembaharuan pinjaman tersebut akan meningkatkan sumber IMF dan membolehkannya meneruskan peranan secara berkesan dalam melindungi kestabilan kewangan dan ekonomi global sebagai respons terhadap penularan pandemik COVID-19.
Dalam kenyataannya, bank pusat Singapura itu berkata komitmen pinjaman kepada IMF akan dibuat di bawah Peraturan Baharu Meminjam (NAB) dengan pinjaman US$1.86 bilion bagi tempoh 2021-2025 manakala Perjanjian Pinjaman Dua Hala (BA) dengan pinjaman US$1.72 bilion bagi tempoh 2021- 2024.
Menurut MAS, Singapura telah berperanan sebagai penyumbang NAB yang dimulakan pada 1998 selain menyumbang kepada BA sejak 2012.
Komitmen pinjaman Singapura adalah dalam bentuk pinjaman luar jangka kepada IMF dan tidak dilakukan secara terus dengan negara-negara yang meminjam daripada dana itu.
“Pihak IMF akan menggunakan komitmen pinjaman itu jika sumber sedia adanya mencatat pengurangan yang ketara.
“Pinjaman ini akan menjadi sebahagian daripada Rizab Luar Negara Rasmi Singapura jika komitmen Singapura itu digunakan,” kata MAS.
Menurut bank pusat itu, pembaharuan komitmen NAB dan BA daripada kalangan anggota IMF dijangka masing-masing berjumlah US$521.5 bilion dan US$188.8 bilion.
NAB merupakan pengaturan kredit pelbagai hala antara IMF dan 38 negara anggota/institusi manakala BA membabitkan IMF dan 40 negara lain, katanya.
Sumber: BERNAMA