"Check Engine" Menyala
Kredit: @altimatsaujana
Tiada Kategori

Simbol “Check Engine” Menyala Lepas Isi Minyak? Ini Yang Anda Perlu Buat

Athirah

Simbol “Check Engine” Menyala Lepas Isi Minyak? Ini Yang Anda Perlu Buat

Seiring peredaran zaman, kereta merupakan pengangkutan peribadi yang paling penting dalam kehidupan moden.

Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan harian, malah memberikan kebebasan kepada pemilik untuk bergerak pada bila-bila masa tanpa terikat dengan jadual pengangkutan awam.

Hampir setiap minggu, rata-rata pengguna kereta akan singgah di stesen minyak berdekatan untuk mengisi semula tangki sebelum meneruskan perjalanan.

Walaupun ia kelihatan mudah, ada perkara yang sering terlepas pandang sehingga menyebabkan simbol “Check Engine” pada papan pemuka atau meter kenderaan menyala.

Sekiranya simbol tersebut aktif, pasti ada yang tidak kena dengan kenderaan kita, kan? Jadi kali ini, SK ingin kongsikan kepada anda mengapa lampu “Check Engine” pada kenderaan menyala selepas mengisi minyak.

Untuk makluman pembaca, tip berkenaan diambil daripada perkongsian mekanik menerusi TikTok @altimatsaujana.

Jangan panik, ikut cara mekanik ini

Kenderaan pada zaman kini dilengkapi dengan sistem EVAP (Evaporative Emission Control) yang berfungsi mengawal dan menghalang wap petrol daripada keluar ke udara.

Menurut @altimatsaujana, penutup tangki bahan api yang tidak ditutup dengan betul boleh menyebabkan udara masuk ke dalam, mengganggu tekanan dalam sistem bahan api dan mengaktifkan simbol “Check Engine”.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya perkara ini berlaku? Anda hanya perlu memastikan penutup tangki bahan api ditutup dengan sempurna dan set semula “trouble code”.

Sekiranya penutup tangki bahan api anda sudah longgar, gantikan saja dengan penutup yang baru di bengkel yang berdekatan.

Faktor lain kenapa simbol “Check Engine” menyala

Sensor oksigen rosak

Menurut portal AAA, sensor oksigen mengawal jumlah oksigen yang belum terbakar dalam sistem ekzos. Jadi, sensor yang rosak boleh membolehkan enjin beroperasi seperti biasa namun tidak efisien dan meningkatkan penggunaan bahan bakar.

Sensor MAF (Mass Air Flow) rosak

Sensor MAF mengukur jumlah udara yang masuk ke dalam enjin untuk membantu mengawal campuran bahan bakar dan udara. Sensor yang tidak berfungsi dengan betul boleh menyebabkan penurunan prestasi enjin.

Kehabisan bateri kereta

Bateri kereta membekalkan sokongan elektrik kepada kenderaan. Walaupun bateri kereta masa kini mampu bertahan lebih lama berbanding dahulu, namun masalah tetap boleh berlaku dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan lampu amaran enjin (check engine light) menyala.

Penukar bermangkin (Catalytic Converter)

Penukar bermangkin merupakan komponen penting dalam sistem pelepasan kenderaan yang berfungsi menukar pencemar berbahaya kepada bahan yang kurang berbahaya, seperti menukar karbon monoksida kepada karbon dioksida.

Masalah pada penukar bermangkin akan menyebabkan lampu amaran enjin (check engine light) menyala, dan jika tidak diselesaikan, ia boleh menjejaskan prestasi kenderaan serta mengurangkan kecekapan penggunaan bahan api.

BACA: Warden Bekas Tentera Mula Bertugas Di MRSM

Sumber: @altimatsaujana via TikTok, AAA