Satu puting beliung kategori lima telah melanda negara Selatan Pasifik, Vanuatu. Hal in menyebabkan kerosakan di sebahagian besar negara tersebut semasa negara tersebut masih dalam persediaan menghadapi wabak COVID-19.
Puting beliung yang digelar sebagai puting beliung ‘Harold’ itu mula menyerang di bahagian Utara dan Barat negara tersebut pada hari Isnin.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Vanuatu telah memberi amaran bahawa angin taufan yang kuat akan mencapai sehingga 235km/j dijangka melalui sebahagian negara pada hari Isnin. Selain taufan, hujan lebat dan banjir kilat turut sama dilaporkan.
“Komunikasi ke Santo dan Malekula (dua pulau terbesar di Vanuatu) terputus sekarang, jadi kita tidak tahu apa yang berlaku,” kata Eric Durpaire, ketua pejabat lapangan Vanuatu untuk Unicef Pacific.
“Maklumat terbaru yang kami ada adalah bumbung bangunan perbandaran Santo telah runtuh dan banjir di sana,” katanya lagi.
Vanuatu adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai sebarang kes COVID-19 yang disahkan, tetapi terdapat kebimbangan bahawa wabak akan berlaku. Namun, puting beliung ‘Harold’ ini hadir semasa negara tersebut dalam persediaan menghadapi wabak COVID-19 ini.
Sumber: The Guardian