
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Angkat Martabat Malaysia, Serantau Di Persada Dunia
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bukan sekadar satu acara diplomatik, tetapi memperlihatkan Malaysia muncul sebagai peneraju baharu dalam memperkukuh peranan dan visi ASEAN di pentas dunia.
Menurut Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah sidang kemuncak tahun ini mencerminkan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah.
Malah, Malaysia menjadi sebagai penggerak kepada pembaharuan struktur dan diplomasi serantau.
“Apa yang berlaku di KLCC bukan sekadar upacara penuh adat dan protokol, tetapi tarian halus diplomasi moden, rumit, pantas dan strategik,” katanya.
Antara kejayaan utama Malaysia sepanjang penganjuran ini ialah kejayaan memujuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk kembali menghadiri Sidang ASEAN.
Bagi beliau, ini sesuatu kejayaan yang jarang berlaku sebelum ini.
Kehadiran Trump bukan sahaja mengesahkan kepentingan ASEAN, malah memperkukuh hubungan diplomatik Washington dengan rantau ini.
Lebih bermakna, Malaysia turut memainkan peranan penting sebagai perantara dalam menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, disaksikan sendiri oleh Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas pengerusi tahun ini turut memperlihatkan pendekatan Malaysia yang lebih terbuka dalam memperluas jaringan diplomatik global ASEAN.
Langkah ini menonjolkan kesediaan ASEAN untuk berperanan lebih besar di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang menyambut ulang tahun ke-20 ini penuh bermakna.
Ia menyaksikan kejayaan EAS apabila semua negara anggota mencapai kata sepakat menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan bersama pertama selepas tiga tahun.
Malaysia turut menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Antaranya termasuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0), yang kini diperluas kepada sektor digital dan hijau.
Dalam masa sama, ASEAN turut mengumumkan kejayaan awal rundingan bagi Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Perjanjian ini dijangka ditandatangani pada 2026 bagi menyelaraskan peraturan perdagangan digital dan pembayaran rentas sempadan.
Menurut Faiz lagi, penganjuran sidang kemuncak tahun ini memperlihatkan kebangkitan semula dasar luar Malaysia yang lebih berprinsip, pragmatik dan berwibawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi beliau, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengerusikan Malaysia di Kuala Lumpur ini akan terus dikenang bukan kerana kehebatannya di pentas, tetapi kerana keteguhan dan maknanya.