Siaran Media Persidangan Keselamatan Dalam Negara
PUTRAJAYA -YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri telah menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 di Hotel Marriot hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan ini bertemakan “Keselamatan Bukan untuk Dikompromi” dengan sasaran dapatan (outcome) “satu perspektif ancaman keselamatan dan ketenteraman awam utama negara yang berasaskan data”.
Penganjuran Persidangan Keselamatan Dalam Negara ini berobjektif untuk mengenal pasti ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara secara holistik berasaskan data serta mengenal pasti strategi bagi menangani ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara yang rentas masa.
Persidangan ini dibahagikan kepada empat kluster meliputi Kluster 1 iaitu Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kluster 2 iaitu Keselamatan Sempadan, Kluster 3 iaitu Keselamatan Siber, dan Kluster 4 iaitu Keselamatan Sosial.
Setiap kluster terdiri daripada pembentang yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), dan pemain industri yang membentangkan pelbagai tajuk mengikut kluster.
Dapatan daripada persidangan ini akan dibentangkan di Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN), dijadikan fokus Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2024 dan Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri (PSKDN) tahun 2026 hingga 2030 di samping akan dijadikan input untuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMk-13).
Persidangan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum disusuli dengan enam slot pembentangan mengikut kluster seterusnya forum penggulungan daripada empat kluster dan pembentangan resolusi persidangan yang kemudiannya telah diserahkan kepada YB Menteri Dalam Negeri sejurus beliau menyempurnakan majlis penutupan.
Turut diadakan, pameran reruai pelbagai agensi berkaitan dengan keselamatan dalam negara yang menyediakan pelbagai informasi bermanfaat kepada pengunjung.
Kementerian Dalam Negeri berharap semoga penganjuran Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 ini dapat menjadi pelantar kepada kerajaan bagi mengenal pasti ancaman utama kepada keselamatan dalam negeri daripada perspektif kementerian dan agensi luar selari dengan tema “Keselamatan Negara Bukan untuk Dikompromi”.
Seterusnya, dapat meningkatkan tahap kecaknaan dan kesiapsiagaan kerajaan amnya serta Kementerian Dalam Negeri khususnya dengan isu-isu keselamatan mutakhir.