Bekas Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik sebelum ini dikenali sebagai susuk yang prihatin dengan kebajikan anak-anak murid dan guru sekolah.
Antara usaha terbesar beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan adalah dengan mengutamakan kebajikan anak-anak kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan pendidikan.
Jika sebelum ini hanya sesetengah sekolah yang mempunyai kelas khas untuk pelajar OKU, namun beliau bersama kementerian berusaha untuk memastikan setiap sekolah mempunyai kelas pendidikan khas.
Bawah kelolaannya, sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka pada tahun 2020 untuk memberi manfaat kepada kira-kira 7,600 Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Dasar Sifar Penolakan diperkenalkan beliau berjaya meningkatkan jumlah pendaftaran MBK dengan signifikan sebanyak hampir 5000 orang iaitu 88,419 orang MBK pada 2019 berbanding 83,598 pada 2018.
Perletakan jawatannya sudah tentu menimbulkan kerunsingan dalam kalangan pendidik khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam mendidik anak-anak istimewa.
Sumber: Twitter, Bernama