
KUALA LUMPUR, 24 September 2024 – Shopee hari ini mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penyedia logistik terkemuka iaitu BEST Inc Malaysia, City-Link Express, Flash Express, GDEX, Ninja Van Malaysia, dan SPX Express untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penjual dan pengguna.
Ini juga mengukuhkan lagi program Jaminan Tepat Waktu yang memastikan penghantaran dilakukan tepat waktu untuk meningkatkan kepuasan pelanggan. Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi perkhidmatan penghantaran di Malaysia, meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan dengan penghantaran yang lebih terjamin, cekap, dan tepat pada masanya.
Dengan pasaran e-dagang Malaysia dijangka berkembang sebanyak 12.8% pada tahun 2024, mencapai USD 11 bilion (MYR 50.3 bilion), kerjasama ini mengukuhkan peranan Shopee sebagai pemacu pertumbuhan sektor tersebut. Pada tahun 2023, pasaran berkembang sebanyak 15%, mencapai USD 9.8 bilion (MYR 44.6 bilion), mencerminkan peningkatan kecenderungan pengguna terhadap pembelian dalam talian dan potensi besar untuk terus berkembang.
Melalui kerjasama dengan rakan logistik seperti BEST Inc Malaysia, City-Link Express, Flash Express, GDEX, Ninja Van Malaysia, dan SPX Express, Shopee ingin mengukuhkan khidmat kepada penjual dan pengguna di seluruh Malaysia dan mengoptimumkan setiap titik rantaian penghantaran untuk memastikan penghantaran lebih cepat dan kecekapan logistik yang lebih baik.

Ini selari dengan data yang menunjukkan 80% responden dari Asia Tenggara akan membeli dalam talian dengan lebih kerap sekiranya penghantaran diterima tepat waktu, 80% responden dari Malaysia juga menyuarakan sentimen yang sama.
“MoU ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan e-dagang lebih mudah diakses dan senang untuk semua pembeli. Dengan kerjasama rakan logistik utama, kami berhasrat menetapkan standard baharu dalam kecekapan penghantaran, terutamanya dengan musim perayaan hujung tahun yang semakin menghampiri. Inisiatif Jaminan Tepat Waktu ini adalah usaha berterusan kami untuk memenuhi keperluan dan permintaan kedua-dua pembeli dan penjual kami, serta membantu perniagaan di Malaysia berkembang ke luar negeri,” kata Cheng Xun (CX) Chua, Pengarah Shopee Malaysia.
“Kerjasama kami dengan Shopee meningkatkan lagi keupayaan kami untuk mencapai lebih ramai pelanggan di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih pantas dan cekap. Kami sangat gembira menjadi sebahagian daripada pencapaian ini untuk menyumbang kepada pertumbuhan Shopee serta memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggannya,” tambah Ronald Tan, Ketua Pegawai Eksekutif, City-Link Express.
“Kerjasama ini dibina atas kepercayaan dan matlamat bersama untuk meningkatkan prestasi logistik dan waktu penghantaran. Dengan kerjasama ini, kami boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mempertingkatkan ekosistem penghantaran di Malaysia secara menyeluruh. Kami teruja untuk bersama Shopee dan rakan logistik lain dalam kerjasama ini,” ujar Chong Hui Chuen, Ketua Pegawai Operasi, GD Express Sdn Bhd.
Program Jaminan Tepat Waktu adalah sebahagian daripada komitmen Shopee untuk membawakan kualiti perkhidmatan terbaik dan denagan jaminan tepat waktu untuk setiap penghantaran buat rakyat Malaysia. Inisiatif ini telah menunjukkan 95% pesanan dihantar dalam tempoh yang dijanjikan, di mana pengguna menerima baucar RM5 bagi sebarang kelewatan penghantaran.

Rangkaian praktis pemenuhan Shopee yang teguh dan diperkukuhkan dengan kerjasama rakan penghantaran logistik yang boleh dipercayai menjamin kelancaran pelaksanaan program ini.
Dengan memperbaiki kecekapan dan konsistensi penghantaran, Shopee bukan sahaja memenuhi jangkaan pelanggan tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi digital Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menghubungkan mereka kepada khalayak yang lebih luas di seluruh Malaysia Timur dan Barat, sambil memastikan pengalaman pengguna yang positif dan memupuk kesetiaan dan pembelian berulang.
Sebagai platform e-dagang terkemuka di Malaysia, Shopee sedang bersiap sedia dengan persiapan musim perayaan hujung tahun dengan mengukuhkan keupayaan logistiknya untuk mengendali lonjakan pesanan.
Tahun ini, dengan rangkaian logistik yang diperkukuhkan dan Jaminan Tepat Waktu, Shopee yakin membawakan nilai terbaik kepada pengguna sambil menyediakan sokongan logistik terbaik kepada penjual agar terus maju dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Ketahui lebih lanjut mengenai Jaminan Tepat Waktu Shopee di https://shopee.com.my/m/on-time-guarantee.