Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dilaporkan bahawa beliau bakal mengundurkan diri berikutan masalah kesihatan yang semakin memburuk.
Ini sekaligus membawa kepada pengakhiran tugas beliau sebagai Perdana Menteri ekonomi terbesar ketiga di dunia.
Abe, yang menderita penyakit radang usus kronik, memberitahu wartawan dalam sidang media di televisyen bahawa kesihatannya mulai merosot sekitar pertengahan bulan lalu.
Beliau bakal meletakkan jawatan dengan berkata beliau tidak mahu penyakitnya itu membawa kepada kesalahan polisi dalam kerajaan.
”Saya perlu melawan penyakit dan dirawat dan saya tidak berada dalam keadaan yang sempurna dari segi keadaan kesihatan,” kata Abe pada Jumaat.
”Saya ingin menyampaikan permintaan maaf kepada rakyat Jepun,” tambahnya.
Abe mengatakan bahawa dia akan memenuhi tugasnya sebagai perdana menteri sehingga pemimpin seterusnya dilantik. Tempohnya sekarang tidak akan berakhir sehingga 2021.
Terdahulu, Abe sebelum ini mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 2007 tetapi kembali semula ke jawatan tertinggi tersebut setelah partinya mencatat kemenangan pada pilihan raya besar pada tahun 2012.
Sejak menyambung semula jawatan perdana menteri, Abe berusaha untuk menghidupkan kembali ekonomi Jepun yang tidak memberansangkan menerusi pakej polisi digelar Abenomics.
Abe memberitahu pada Jumaat bahawa dasar ekonomi telah berjaya meningkatkan pekerjaan dan mengakhiri deflasi selama 20 tahun.
Sumber: CNBC