Susulan pembahasan Bajet 2022 yang masih berlangsung di persidangan Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merangkap ahli parlimen Semporna dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi cadangan untuk mengenakan cukai kemewahan terhadap barangan tertentu.
“Barangan mewah yang boleh dikenakan cukai adalah seperti supercar, kapal layar, jet peribadi, barang kemas bernilai tinggi dan barangan mewah lain.
“Untuk makluman, pengenaan luxury tax ini dilakukan oleh negara maju sejak sekian lama. Di rantau ASEAN, Thailand dan Indonesia juga turut mengenakan cukai kemewahan ini kepada rakyat mereka,” ulas Shafie mengesyorkan cadangan itu dipertimbangkan kerajaan.
Tambah beliau, tujuan cukai kemewahan itu disyorkan adalah untuk merapatkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan rendah (B40) dengan berpendapatan tinggi (T20).
Jelas Shafie memetik laporan Astro Awani, cukai kemewahan yang dicadangkan beliau dijangka mampu meningkatkan hasil pendapatan negara sekiranya cukai tersebut dikenakan bagi setiap pembelian barangan mewah dan non-essential yang melepasi harga tertentu.
Sumber: Astro Awani