Selepas tiga hari tragedi yang menimpa kapal terbang Sriwijaya Air SJ-182, warganet di media sosial masih lagi turut sama-sama berduka dan bersimpati dengan nasib kesemua mangsa.
Dalam pada itu, satu posting yang menyaksikan sekeping kertas dengan nota yang dilengkapi dipercayai dengan nama dan tandatangan juruterbang pesawat itu, Kapten Afwan, menjadi tular.
Nota tulisan tangan dengan latar permaidani itu mula tular di laman Twitter.
“Agung, saya pinjam pengecas sebentar, okey? Terima kasih sebelumnya,” katanya di dalam nota itu.
Ia diakhiri dengan peringatan kepada rakannya agar melakukan solat subuh.
“Jangan lupa untuk solat subuh,” katanya.
Walaupun masih tidak dapat dipastikan sama ada nota tersebut betul-betul ditulis oleh Kapten Afwan namun warganet percaya bahawa surat ini mewakili keperibadiannya.
Sepanjang hidupnya, Afwan dikenal sebagai seorang yang baik, jiran dan keluarganya mengenali Afwan sebagai seorang yang rajin berdoa.
Tidak cuma itu, gambar profil yang terdapat di aplikasi WhatsApp Allahyarham juga mendapat perhatian ramai.
Ia memperlihatkan gambar Superman yang sedang melakukan solat dengan kata-kata yang ‘menjentik’ hati.
Anak saudara Kapten Afwan, Ferza Mahardika, mengesahkan bahawa gambar tersebut memang berasal dari akuan WhatsApp bapa saudaranya.
“Itu bukan status, tapi itu DP (gambar profil),” katanya kepada Tribun News.
Kapten Afwan adalah juruterbang yang dilaporkan mengendalikan pesawat Sriwijaya Air SJ-182 yang hilang dari radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada Sabtu lalu, lapor Okenews.
Seramai 62 orang dilaporkan terdapat di dalam pesawat Boeing 737-500 tersebut iaitu dengan 12 kru dan 50 penumpang.
Sumber: Okenews, Tribun News