Setiap kementerian yang dilantik dalam Kabinet baharu hari ini perlu membuktikan pencapaian awal masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelantikan barisan Kabinet tersebut diharap memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.
“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya dalam pengumuman barisan jemaah Kabinet baharu secara langsung hari ini.
Ismail menjelaskan bahawa barisan Kabinet baharu tersebut dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Kata beliau, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.
Sumber: Siaran Langsung Pengumuman Kabinet oleh PM