
Sesak Dengan ‘Lautan’ Manusia, Ribuan Peminat Berkumpul Sambut Hari Jadi Shah Rukh Khan
Aura bintang Bollywood tersohor Shah Rukh Khan begitu terserlah apabila ribuan peminat fanatik pelakon itu membanjiri kediamannya untuk sama-sama menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-57 baru-baru ini.
Shah Rukh Khan turut berkongsi imej dan video di Instagramnya yang menunjukkan lautan manusia sanggup berhimpit dan bersesak kerana tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama dengan bintang kesayangan mereka di hari bahagianya.

Dalam video berkenaan, Shah Rukh Khan dilihat melambai-lambai tangan ke arah peminatnya.
“Lautan cinta yang hadir untukku di ulang tahun. Terima kasih kerana hadir pada hari ini dan menjadikan ia sungguh istimewa. Terima kasih dan sayang kamu semua,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Suasana berkenaan sebenarnya adalah normal dan menjadi tradisi setiap tahun apabila hari jadi pelakon tersebut. Namun, ia terhenti beberapa tahun kebelakangan disebabkan pandemik Covid-19.
Shah Rukh Khan meluahkan rasa syukur kerana tradisi itu kembali tahun ini dan hari jadinya dapat disambut meriah bersama peminat.
Lebih istimewa ialah sebelum itu bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa yang terletak di Dubai turut menyiarkan ucapan khas buat Shah Rukh yang selamat meniti usianya yang ke-57.
“Selamat ulang tahun Shah Rukh Khan, kami menyayangimu,” kata ucapan itu diiringi emoji dan wajah bintang berkenaan.
Difahamkan, situasi berkenaan menyebabkan jalan-jalan berdekatan kediaman Shah Rukh Khan menjadi sesak. Polis turut dikerahkan untuk mengawal perkarangan lokasi kediaman Shah Rukh Khan bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku.
BACA: Twitter Rugi Lebih RM 18 Juta Sehari, Elon Musk Dedah Tiada Pilihan Selain Buang Pekerja
Sumber: Instagram Shah Rukh Khan