Serpihan Batu Marikh Terbesar Ditemui Di Bumi Dijangka Dilelong Hingga RM16.9 Juta
Ketulan batu terbesar dari planet Marikh yang pernah ditemui di Bumi dijangka boleh dilelong dengan harga mencecah USD4 juta (RM16.9 juta) dalam acara lelongan anjuran Sotheby’s yang dijadual bermula pada 16 Julai.
Menurut laporan Science Alert, batu meteor yang dinamakan secara rasmi NWA-16788 dipercayai sebagai batu terbesar dari Marikh yang pernah direkodkan. Dengan berat 24.67 kilogram, batu ini mengatasi rekod terdahulu iaitu Taoudenni 002 yang ditemukan di Mali pada 2021 dengan catatan berat 14.51 kilogram.
NWA-16788 ditemui pada November 2023 oleh seorang pemburu meteor di Agadez, Niger, sebuah kawasan yang jarang didiami penduduk. Malah, kawasan tersebut lebih dikenali dengan penemuan-penemuan fosil dinosaur berbanding batu meteor.
Identiti batu tersebut disahkan sebagai serpihan Marikh oleh Muzium Astronomi Shanghai setelah sampel kecil dihantar untuk dianalisis.
Menerusi penyenaraian di laman Sotheby’s, batu meteor ini hanya mengalami sedikit pelapukan di Bumi. Struktur fizikal dan kimia batu berkenaan masih kekal seperti saat batu berkenaan menghentam Gurun Sahara.
Keadaan ini dikatakan menjadi penunjuk bahawa batu ini dipercayai jatuh dari angkasa lepas tidak lama dahulu.
Berikutan sifat batu ini yang mengandungi peratusan kaca maskelynite yang tinggi diikuti beberapa bahagian yang ‘cair’, pakar menyimpulkan batu ini mungkin terpelanting ke angkasa selepas hentaman asteroid besar di permukaan Marikh.
Pihak Sotheby’s turut menjelaskan keadaan pembentukan batu ini.
“Ia terbentuk hasil penyejukan perlahan magma Marikh dan mempunyai tekstur berbutir kasar dengan komposisi utama piroksen, maskelynite dan olivin,” jelas organisasi berkenaan.
Kredit: Charly Triballeau/AFPBagaimanapun, penjualan batu meteor yang jarang ditemui ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pakar.
Menurut ahli paleontologi Universiti Edinburgh, Steve Brusatte, jualan ini bakal merugikan banyak pihak.
“Menjadi kerugian besar jika batu ini berakhir dalam peti simpanan seorang oligarki. Batu ini sepatutnya berada di muzium untuk dikaji dan dinikmati kanak-kanak, keluarga dan orang ramai,” ujarnya.
Berbeza pula dengan pendapat pakar sains planet Universiti Leicester, Julia Cartwright, yang menganggap penjualan batu ini satu perkara yang positif.
“Minat saintifik akan terus kekal, malah pemilik baharu mungkin berminat untuk membantu penyelidikan, jadi banyak pengetahuan masih boleh diperoleh,” katanya.
Sumber: Science Alert
BACA: Surat Tulisan Tangan Buat “Uncle JPJ” Jadi Sorotan
BACA: Dari Detik Hitam Ke Puncak Anugerah: Siti Nur Ahmad Ubah Stesen Petronas Jadi Pusat Sehenti