Lelaki palsukan kematian
Kredit TikTok

Sering Disisihkan Keluarga, Lelaki Nekad Palsukan Kematian Semata Nak Bagi Pengajaran

Syed Faisal Sayed Muhammad

Sering Disisihkan Keluarga, Lelaki Nekad Palsukan Kematian Semata Nak Bagi Pengajaran

Seorang lelaki nekad memalsukan kematiannya bagi memberi pengajaran kepada keluarganya berkenaan hubungan kekeluargaan, lapor Independent.

Lelaki yang berasal dari Belgium bernama David Baerten, 45, itu mendakwa bahawa dia melakukan ‘prank’ itu bertujuan untuk memberi pengajaran kepada ahli keluarganya tentang kepentingan untuk bertanya khabar antara satu sama lain.

David memberitahu rancangan bual bicara Perancis, Touvhe Pas a Mon Poste (TPMP) bahawa dia mengatur rancangannya itu kerana berasa ‘tidak dihargai’ dalam kalangan saudaranya.

Video aksi ‘prank’ tersebut telah dimuat naik oleh David di laman TikTok yang menggunakan nama @el.tiktokeur2.

Video itu menunjukkan detik David tiba di pengebumiannya sendiri dengan menaiki helikopter.

Rakaman itu menunjukkan orang ramai dilihat sedang berkabung. Kemudian selepas helikopter itu mendarat di padang dan pintu dibuka, orang ramai berlari ke arah David dan memeluknya.

Sebuah video yang berasingan pula menunjukkan seorang saudara beremosi menangis ketika memeluk David.

“Kami telah terkena. Saya bersumpah, saya menangis dan kemudian terkejut. Kawan kami sangat menyayangi kamu,” tulis kapsyen muat naik video tersebut.

Pengebumian tersebut dikatakan berlangsung secara berperingkat bermula pada minggu lalu.

Anak perempuan David bernama Liege sempat menulis ‘penghormatan terakhir’ kepada bapanya di media sosial.

“Rehat dengan tenang ayah. Saya tidak akan berhenti memikirkan tentang ayah. Mengapa hidup ini tidak adil? Kenapa ayah? Ayah akan menjadi seorang datuk dan masih jauh perjalanan ayah. Saya sayang ayah! Kami sayang ayah! Kami tidak akan melupakan ayah,” tulis Liege di media sosial nya.

Gurauan itu bagaimanapun telah mendapat kritikan daripada penonton dan orang ramai yang menganggap ia sebagai satu gurauan yang kejam.

Walaupun David tidak menunjukkan rakaman pengebumian tersebut, dia sempat memuat naik sebuah video yang menjelaskan mengapa dia melakukan aksi berkenaan.

Terasa hati dengan kaum keluarganya

Menurut The Times, David berkata dia telah terluka kerana tidak pernah dijemput oleh ahli keluarganya dalam apa-apa majlis keluarga.

“Tiada siapa lihat saya. Kami semua semakin terpisah. Saya rasa tidak dihargai. Itulah sebabnya saya ingin memberi mereka pelajaran dan menunjukkan bahawa kamu tidak perlu menunggu kematian untuk bertemu dengannya,” katanya.

Tambahnya, hanya separuh daripada keluarganya yang menghadiri pengebumian palsunya itu.

“Itu membuktikan siapa yang benar-benar mengambil berat tentang saya. Mereka tidak datang pengebumian itu menghubungi saya untuk berjumpa. Jadi saya akhirnya menang,” tambahnya.

BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu

Sementara itu, semasa penampilannya dalam rancangan TPMP, David jelas mengatakan bahawa dia menyesal melakukan aksi itu.

Selain itu, dia juga mendedahkan bahawa isterinya antara orang yang mengetahui rancangannya itu sejak awal dan cuba menghalangnya.

Selepas melihat maklum balas daripada orang yang disayanginya, David berkata: “Sebaik sahaja saya mula menerima mesej daripada orang serta video mereka menangis, saya berharap boleh membatalkan semuanya.

“Saya minta maaf kepada semua orang yang saya sakiti,” akhiri David dalam rancangan itu.

Sumber: Independent