Kredit: Rasheedan Ellin
Tiada Kategori

Serba Kekurangan Tak Halang Pelajar PhD UIAM Di Palestin Siapkan Kajian

Sofea

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Serba Kekurangan Tak Halang Pelajar PhD UIAM Di Palestin Siapkan Kajian

Sehingga hari ini, kesengsaraan rakyat Palestin masih lagi belum menemui titik noktahnya. Ratusan ribu telah terkorban dan rumah untuk berlindung juga telah dimusnahkan oleh Israel.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita yang berada di kejauhan ini hanya mampu melangitkan doa, berharap agar kembali ada sinar di bumi para anbiya itu.

Bagaimanapun, rakyat Palestin juga tidak pernah mengalah, setiap hari dilalui dengan penuh kecekalan dan semangat yang tidak pernah luntur. Walaupun hidup dalam keadaan yang perlu sentiasa berjaga-jaga, mereka tetap cuba untuk menempuhi hari-hari dengan perkara yang bermakna.

Ramai di antara mereka yang tetap gigih menuntut ilmu biarpun berada dalam keadaan yang serba kekurangan.

Seperti seorang lelaki yang dikenali sebagai Fadi Esleem ini yang tetap berusaha menyiapkan kertas kajiannya walaupun hanya bermejakan baldi dan berlantaikan pasir.

BACA: Dr Fauziah, Wartawan Astro Awani & 7 Lagi Aktivis Malaysia Sah Ditahan

Menerusi perkongsian Rasheedan Ellin di Facebook, Fadi merupakan sahabat seperjuangannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejururawatan.

Menurut Rasheedan, kegigihan Fadi ini merupakan simbol keteguhan rakyat Palestin yang sentiasa percaya adanya sinar hari esok daripada Allah SWT.

“Kajian beliau berkaitan pesakit COPD kronik. Mohon doa teman soleh solehah semua Fadi selamat sentiasa,” katanya.

Kredit: Rasheedan Ellin

Ujarnya lagi, mereka juga sering berhubung melalui WhatsApp, walaupun tidak pernah bertemu di Malaysia.

Gambar yang dikongsikan olehnya juga memperlihatkan Fadi meletakkan komputer riba di atas baldi dan duduk bersila di atas pasir, di luar khemahnya.

“Fadi beritahu ada tembakan di kawasan khemah beliau sekarang,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang kagum dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh Fadi.

“Guru Quran dan Tahfiz saya semasa di UIA juga orang Palestin yang sedang buat PhD dalam bidang ekonomi ketika itu. Kuat semangat mereka nak belajar,” kata seorang netizen.

“Semoga Allah permudahkan segalanya,” kata seorang lagi.

Sumber: Rasheedan Ellin