Menteri kerajaan United Kingdom (UK) dilaporkan telah memberi amaran bahawa negara-negara Eropah kini lebih hampir kepada peperangan berbanding sepanjang 70 tahun lalu, lapor The Guardian.
Kebimbangan itu timbul susulan daripada kemelut yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine di mana para pemimpin barat juga telah memberi amaran bahawa pencerobohan mungkin boleh berlaku awal minggu ini.
Menteri Angkatan Tentera, James Heappey berkata terdapat 130,000 tentera Rusia di sekitar sempadan Ukraine dan beribu-ribu lagi dalam kapal amfibia di Laut Hitam dan Laut Azov.
“Semua pemboleh tempur sudah ada dan saya takut jika semua ini hanyalah pertunjukan untuk memenangi manfaat dalam diplomasi yang tidak memerlukan logistik, bahan api, bekalan perubatan dan aset penghubung.
“Ini adalah masa yang sangat serius untuk seluruh dunia, untuk kita berkumpul dan menghantar mesej kepada Rusia bahawa ini adalah tingkah laku yang tidak akan diterima dan kami berdiri di belakang Ukraine,” katanya dalam program BBC Radio 4 Today.
Sementara itu, pemimpin barat sedang melancarkan usaha terakhir untuk melakukan rundingan penyelesaian secara diplomatik kerana pihak perisikan Amerika Syarikat memberi amaran bahawa serangan mungkin akan berlaku.
Pejabat Luar juga telah meminta warga Britain untuk meninggalkan Ukraine sementara jalan raya masih dibukan dan syarikat penerbangan komersial masih beroperasi.
Sumber: The Guardian