serangan hamas israel terbunuh
Gambar: AFP

Serangan Hamas: Lebih 900 Warga Israel Terbunuh Setakat Ini

Nur Adnin

Serangan Hamas: Lebih 900 Warga Israel Terbunuh Setakat Ini

Kira-kira lebih 900 warga Israel direkodkan telah terbunuh setakat ini sejak serangan daripada Hamas dilancarkan pada awal pagi Sabtu lalu, memetik CNBC.

Laporan CNBC dalam masa sama menyatakan, seramai 687 penduduk Palestin di sekitar Gaza dan Tebing Barat juga dilaporkan terkorban.

Dalam pada itu, CBS News melaporkan angka kematian bagi kedua-dua pihak setakat ini dicatatkan seramai 1,500 orang, termasuk 11 warga Amerika Syarikat (US).

Laporan sama menyatakan siren amaran udara ‘berkumandang’ di langit Tel Aviv pagi Isnin apabila Hamas melepaskan lebih banyak peluru berpandu mereka ke sana.

Letupan turut kedengaran apabila sistem pertahanan udara Kubah Besi Israel (Israel Iron Dome) berjaya menangkis beberapa roket Hamas.

Pada semalam, konflik Israel-Palestin meningkat apabila Israel memaklumkan pihaknya akan membuat sekatan keperluan asas rakyat ke atas Palestin.

“Tiada bekalan elektrik, makanan, air dan gas. Semua disekat,” kata Menteri Pertahananan Israel Yoav Gallant seperti yang dilaporkan AFP semalam.

Difahamkan dalam masa yang sama penduduk Palestin di sekitar sempadan turut bersiap siaga dengan sekatan yang dijalankan berkenaan.

Mengimbas sekitar konflik, ruang langit Gaza sebelum ini dipenuhi asap hitam ekoran serangan roket serta siren kecemasan yang kedengaran dari Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

Rekod sebelum ini menyatakan angka korban warga Israel adalah kira-kira 700 orang dan Gaza lebih 560 orang.

Selain itu, sebuah tapak festival muzik di Kibbutz di padang pasir Negev di Israel juga menjadi sasaran serangan Hamas yang membuatkan lebih 250 individu terkorban.

Berita lanjut menyusul.

Sumber: CNBC, CBS News