isteri ketiga mengaku tidak bersalah serang isteri keempat
Gambar: Sinar Harian

Didakwa Serang Isteri Keempat Guna Parang, Isteri Ketiga Mengaku Tidak Bersalah

Nurhanis

Seorang wanita yang juga isteri ketiga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan madunya iaitu isteri keempat dengan parang pada Sabtu lalu, lapor Sinar Harian.

Tertuduh yang berusia 36 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Selasa dan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang pada 15 Oktober di hadapan sebuah rumah di Felda Lui Timur, Jempol.

Difahamkan, wanita yang juga seorang penternak kambing itu didakwa kerana dia dengan sengaja mencederakan mangsa yang berusia 41 tahun menggunakan parang.

Namun tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi dan beliau turut memaklumkan kepada hakim bahawa mangsa dan tertuduh merupakan madu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya merupakan isteri ketiga dan mangsa merupakan isteri keempat.

Sementara itu, tertuduh turut memaklumkan dia bertindak sedemikian kerana mahu mempertahankan diri.

Kemudian, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan untuk mendekati mangsa dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Disember ini.

Sumber: Sinar Harian