Sejumlah 39 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di empat sekolah di Pekan disahkan positif COVID-19 dan tidak dapat menduduki peperiksaan tersebut yang bermula hari ini, lapor Sinar Harian.
Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, jumlah tersebut diharap tidak terus bertambah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak.
“Di daerah ini (Pekan), terdapat seramai 1,438 pelajar daripada 16 sekolah menengah menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini.
“Kita berharap jumlah calon SPM daerah ini yang positif Covid-19 tidak terus bertambah lagi dan disebabkan itu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu bagi semua pihak,” katanya.
Jelas beliau, setiap calon SPM yang bergejala diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengawas peperiksaan sebelum masuk ke dalam dewan bagi mengelakkan jangkitan.
Tambah Mohd Razali, penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar SPM ini bukan sahaja memberi kesan kepada calon, malah para guru yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan juga tertekan kerana turut terdedah kepada wabak yang mungkin dibawa pelajar.
Oleh itu, pelajar yang positif tidak dibenarkan menduduki peperiksaan dan akan mengikuti penjadualan semula yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk peperiksaan SPM.
“Bila pelajar disahkan positif secara automatik mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan. KPM mementingkan kesihatan serta keselamatan pelajar, jadi wabak COVID-19 tidak boleh diambil mudah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian