Gambar: Sinar Harian via Maritim

Seorang Nelayan Hilang Selepas Terjatuh Dari Bot

Aireena Marizan

PARIT BUNTAR: Seorang nelayan hilang di laut selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Kurau pada Selasa.

Kehilangan Ong Boon Lai, 40, sekitar jam 6:30 pagi itu disedari oleh rakan mangsa sebelum melaporkan kepada majikan mereka.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, operasi carilamat yang digerakkan pada jam 9:45 pagi itu masih belum menemui sebarang petunjuk.

Menurutnya, operasi pencarian dilakukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bersama bot Kilat 9 dengan dibantu Bot Kerambit Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan nelayan setempat.

Beliau berkata, operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 11 batu nautika persegi.

Katanya, setakat jam 3:30 petang, mangsa masih belum ditemui.

Sumber: Sinar Harian