
Seorang Maut, Empat Cedera Dalam Nahas Empat Kenderaan
Seorang lelaki disahkan maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan, malam tadi.
Difahamkan, nahas terbabit berlaku di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, antara Sungkai dan Slim River.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad memaklumkan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu treler yang sedang membawa muatan batu kapur dari Simpang Pulai, Ipoh,” katanya.
Tambah beliau, empat lagi mangsa yang cedera menerima rawatan awal di lokasi kejadian. Pihak polis juga kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.36 malam.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan, dua buah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam perkembangan berkaitan, PLUS Malaysia Berhad menerusi ciapan di platform X memaklumkan bahawa kemalangan itu telah menyebabkan kesemua lorong arah selatan terpaksa ditutup sementara, mengakibatkan kesesakan sepanjang 16 kilometer.
Walau bagaimanapun, kesemua lorong berjaya dibuka semula secara berperingkat pada jam 3.47 pagi tadi, kecuali lorong kecemasan arah selatan yang masih ditutup bagi kerja-kerja pemindahan muatan.
Kini, aliran trafik dilaporkan kembali lancar di kedua-dua arah.
BACA: Kanak-Kanak Perempuan 10 Tahun Hilang Dihanyutkan Air Longkang
BACA: Keluar Cari Durian, Dua Beradik Ditemui Maut Dalam Keadaan Berpelukan
BACA: Nahas FRU: Pemandu Lori Ditahan Semula, Kes Curi Lembu Di Hutan Melintang
Sumber: Astro Awani