Seorang Maut Dalam Kejadian Gempa Di Turkiye
ANKARA – Satu gempa bumi berukuran 5.8 magnitud menggegarkan kawasan peranginan popular di barat daya Turkiye awal pagi Selasa, mengorbankan seorang remaja perempuan dan mencederakan puluhan yang lain, lapor AFP.
Menurut Agensi Bencana Turkiye (AFAD), gempa berlaku pada jam 2.17 pagi waktu tempatan (2317 GMT Isnin), kira-kira 10 kilometer dari pantai Marmaris di wilayah Mugla. Gegaran turut dirasai di Greece dan Mesir.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, seorang gadis berusia 14 tahun meninggal dunia akibat serangan panik di Fethiye, iaitu kira-kira 100 kilometer dari Marmaris.
“Afranur Gunlu dibawa ke hospital selepas mengalami serangan panik. Malangnya, beliau meninggal dunia walaupun menerima rawatan,” katanya di platform X.
70 lagi dilaporkan cedera ketika cuba mencari tempat berlindung termasuk mereka yang melompat dari tempat tinggi disebabkan panik.
Daripada jumlah tersebut, 14 dirawat di lokasi kejadian, lapan diberi rawatan pesakit luar manakala 46 lagi menerima rawatan di hospital.
Yerlikaya turut memaklumkan tiada laporan awal mengenai kerosakan bangunan di kawasan kediaman setakat ini.
Wilayah Mugla menempatkan beberapa destinasi pelancongan utama termasuk Marmaris, Bodrum dan Fethiye yang menerima lebih 3.7 juta pelancong asing pada tahun 2024.
Gempa turut dirasai di Kepulauan Dodecanese, Greece, dengan beberapa pelancong di Rhodes dilaporkan terpaksa meninggalkan hotel mereka, menurut Ketua Pihak Berkuasa Perlindungan Gempa Greece, Efthymios Lekkas.
Beliau berkata, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.
Gegaran itu turut dikesan sejauh Mesir, menurut Institut Penyelidikan Kebangsaan Astronomi dan Geofizik negara itu.
Mengimbau kembali sejarah, 85 tahun yang lalu Turkiye dilanda gempa bumi paling kuat bermagnitud 7.8 dengan kedalaman 20 kilometer di Erzincan. Berada 160 kilometer daripada perairan Laut Hitam, kejadian pada 27 Disember 1939 itu mengorbankan seramai 32,700 nyawa dan 100,000 yang lain mengalami kecederaan dengan kira-kira 120,000 penempatan musnah. Tragedi berkenaan mengakibatkan keseluruhan nilai kerosakan mencecah USD20 milion.
Sumber: AFP, Earthquake Track, NOAA
BACA: Hasil Perikanan Laut Cecah 1.42 Juta Tan Metrik Tahun Lepas – Jabatan Perikanan
BACA: Pertikaian Sempadan Dengan Thailand, Kemboja Rancang Bawa Kes Ke ICJ