
Seorang lagi warga Malaysia dilapor akan menjalani hukuman gantung di Singapura pada minggu hadapan. Individu berkenaan dijatuhkan hukuman tersebut selepas didapati bersalah melakukan jenayah penyeludupan dadah jenis heroin ke Singapura pada 2016.
Menurut kumpulan advokasi Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (ADPAN), dia akan menjalani hukuman mati yang dijadualkan pada Khamis, 7 Julai 2022.
Difahamkan, Singapura berdepan dengan gesaan untuk pemansuhan hukuman mati, namun negara itu berkeras bahawa hukuman tersebut telah menjadikan Singapura sebagai tempat paling selamat di Asia.
Aktivis hak asasi manusia terkenal negara itu, Kristen Han berkata ahli keluarga individu berkenaan telah memaklumkan kepadanya mengenai hukuman gantung yang akan dijalankan pada minggu hadapan.
“Sungguh mengerikan bagaimana Singapura menggandakan hukuman gantung atas kesalahan dadah berulang kali, walaupun penyelidikan gagal mengemukakan bukti konklusif bahawa hukuman mati sebenarnya berfungsi seperti yang didakwa oleh kerajaan Singapura,” kata Han kepada AFP.
Pada April lalu, hukuman gantung terhadap seorang lagi pengedar dadah warga Malaysia yang kurang upaya dari segi mental, Nagaenthran K Dharmalingam telah mendapat respon meluas dan pelbagai daripada orang awam.
Kritikan juga turut disuarakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah yang mengatakan bahawa menggantung seseorang yang mengalami kecacatan intelek adalah melanggar undang-undang antarabangsa.
Memetik Detik.com, aktivis hak asasi manusia itu bimbang bahawa Singapura akan melaksanakan lebih banyak hukuman mati dalam beberapa bulan akan datang. Setakat tahun ini, seramai tujuh banduan dimaklumkan akan menjalani hukuman gantung.
Dalam temubual bersama media terkemuka Britain, BBC pada minggu ini, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Undang-undang, K Shamugam menegaskan Singapura mengekalkan hukuam mati adalah kerana terdapat bukti jelas ia berupaya mengangani masalah pengedaran dadah secara serius.
BACA: Tak Perlu “Thailand Pass”, Insurans Kesihatan 10 Ribu Dollar Untuk Masuk Thailand Bermula 1 Julai
BACA: “Kita La Sedih Bagi Anak Makan Macam Tu”, Wanita Sebak Bagi Anak Makan Telur Setiap Hari Selepas Suami Kemalangan
Sumber: AFP