Seorang maut manakala kira-kira 300 penduduk yang lain terpaksa dimasukkan ke hospital selepas satu penyakit ‘misteri’ dikatakan melanda bandar Andra Pradesh, Eluru, India, lapor Times of India.
Menurut Times of India, pesakit yang dimasukkan ke hospital itu kebanyakannya mengalami sawan, pengsan secara tiba-tiba dan menggigil.
Semua bermula pada Sabtu lalu dengan 45 orang penduduk daripada 4 daerah Eluru yang berlainan menunjukkan simptom yang luar biasa. Kesemua yang dimasukkan ke hospital termasuk 46 orang kanak-kanak dan 70 wanita. Sistem saraf mereka tampak terjejas. Tetapi agen penyebabnya masih tidak jelas.
Dengan pihak berkuasa tempatan menolak kemungkinan bahawa pencemaran air serta makanan adalah penyebabnya, pasukan pakar dari AIIMS, Delhi, terus mengikuti rapat dengan doktor di Eluru untuk mendiagnosis masalah kesihatan yang pelik itu.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan menyatakan bahawa mereka hanya boleh mengetahui punca sebenar penyakit itu selepas mereka menerima laporan daripada sampel cecair serebrum-tulang belakang yang dihantar ke makmal di Vijayawada dan Visakhapatnam.
Pakar kesihatan sedang meneliti daripada pelbagai sudut, termasuk keracunan kimia melalui pencemaran udara atau susu yang tercemar. Sebilangan daripada mereka percaya bahawa ianya adalah kes histeria yang besar.
Pihak berkuasa menyatakan mereka memberikan rawatan simptomatik kepada pesakit. “Kami sedang memerhatikan keadaan kesihatan semua yang jatuh sakit di Eluru. Dua kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital di Vijayawada sedang beransur pulih. Kami sedang menunggu laporan ujian. Dalam 25 tahun pengalaman saya, saya tidak pernah melihat kes seperti ini,” kata Dr Suhasini, DM&HO, Krishna.
Sumber: Times of India