Seorang bekas tentera dilaporkan mati ditembak selepas dilaporkan menyerang pos kawalan Batalion ke-4 Gerik semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid menerusi satu ciapan Twitter Bernama sebentar tadi.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan melalui akaun Facebook rasmi Polis Perak, lelaki yang bersenjatakan parang itu telah cuba untuk menceroboh kawasan Batalion ke-4 rejimen sempadan, Gerik dengan memanjat pagar pintu hadapan kem tersebut.
Lelaki tersebut dilaporkan telah diberikan amaran oleh anggota tentera yang mengawal pintu hadapan pos kawalan berkenaan, namun dia telah bertindak agresif dengan menyerang anggota tentera terbabit dengan senjata yang dibawanya.
Semasa pergelutan tersebut berlaku, anggota tentera pos pengawal terbabit telah melepaskan tembakan dan mengenai lelaki tersebut.
Susulan daripada itu, pihak tentera terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak PDRM dan terus menghantar lelaki tersebut ke hospital daerah Gerik untuk mendapatkan rawatan.
Lelaki itu kemudiannya telah disahkan meninggal dunia.
Hasil siasatan mendapati bahawa lelaki tersebut merupakan bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada tahun 2003.
Dia telah ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.
Pihak PDRM dilaporkan masih lagi menunggu laporan bedah siasat forensik yang akan dilakukan pada hari ini.
Kes akan disiasat di bawah seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Siasatan lanjut berkenaan perkara tersebut masih sedang dijalankan.
Sumber: Polis Perak