
Seorang Anggota ATM Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Jalan Raya
Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori 5 tan ATM dan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Bukit Belah, Machang, petang tadi.


Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada jam 6.51 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
Ketibaan pasukan yang diketuai PBK II Mohd Fadzil Musa mendapati berlaku kemalangan membabitkan lima mangsa. Mangsa terlibat adalah empat anggota tentera yang menaiki lori ATM dan seorang lelaki dewasa yang memandu kereta Proton Wira.
Difahamkan, seorang anggota tentera disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tiga lagi anggota tentera mengalami kecederaan, manakala pemandu Proton Wira tersepit dan dilaporkan cedera parah.
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat sebelum semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sumber: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan