
Shah Alam: Satu siasatan akan dijalankan terhadap seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kerana didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata siasatan berkenaan dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 6) 2020.
“Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Polis menerima satu laporan semalam (berhubung isu tersebut) dan pihak terlibat termasuk individu yang memuat naik gambar berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan. Siasatan awal akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, tular di media sosial gambar seorang ADUN Selangor bersama anggota keluarganya melebihi 20 orang di luar sebuah rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Gambar tular itu menimbulkan persoalan warga maya sama ada SOP PKPB tidak terpakai ke atas golongan kenamaan.
— BERNAMA