
Senat AS Gagal Hentikan Penutupan Kerajaan
WASHINGTON — Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dijangka berlarutan hingga minggu depan selepas Senat pada Jumaat menolak buat kali keempat cadangan pembiayaan sementara yang dikemukakan oleh parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump, lapor AFP.
Difahamkan, pelbagai perkhidmatan awam lumpuh susulan agensi persekutuan dilapor telah kehabisan dana sejak Rabu.
Ia berikutan kebuntuan rundingan di Kongres berhubung usaha mengekalkan kelangsungan operasi kerajaan.
Antara yang terjejas termasuklah penutupan lokasi pelancongan seperti Monumen Washington, kelewatan penerbitan data rasmi pekerjaan, serta gangguan pada beberapa laman web kerajaan.
Namun, beberapa sektor kerajaan yang lain dilapor masih belum terkesan sepenuhnya.
Akibatnya, dianggarkan lebih 750,000 kakitangan awam dijangka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sementara dan dijangka menerima bayaran semula selepas penutupan berakhir.
Tiada rancangan untuk meneruskan sesi persidangan hujung minggu ini, menjadikan undian pada Jumaat peluang terakhir minggu ini untuk menamatkan kebuntuan tersebut.
Isu utama berpunca daripada tuntutan parti Demokrat yang mahu subsidi penjagaan kesihatan diteruskan bagi mengelakkan peningkatan mendadak kos perubatan kepada jutaan rakyat berpendapatan rendah.
Dalam perkembangan lain, pentadbiran AS pada Jumaat membekukan dana pengangkutan bernilai US$2.1 bilion untuk bandar Chicago, sekali gus menafikan sebuah lagi bandar yang cenderung Demokrat daripada menerima peruntukan.
Pentadbiran itu turut membekukan sekurang-kurangnya US$28 bilion dana untuk bandar dan negeri yang berpihak kepada Demokrat.
Sumber: AFP via France24, Anadolu Agensi