
Senarai 10 Negara Dengan Hutang IMF Terbesar 2026
Walaupun ekonomi global semakin pulih selepas pandemik dan krisis geopolitik, tidak dinafikan banyak negara masih bergantung kepada bantuan kewangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Lapor CNBC Indonesia, data terkini sehingga akhir Januari 2026 menunjukkan jumlah kredit IMF yang masih belum dilangsaikan mencecah sekitar US$165 bilion atau hampir RM650 bilion.
Argentina terus berada di kedudukan teratas sebagai negara dengan hutang IMF terbesar pada tahun 2026. Negara Amerika Selatan itu masih menanggung beban sekitar US$57.7 bilion.
Jumlah ini jauh mengatasi negara lain, mencerminkan kebergantungan Argentina yang tinggi terhadap sokongan kewangan IMF dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di tempat kedua ialah Ukraine, dengan jumlah hutang sekitar US$13.9 bilion. Lapor CNBC Indonesia, konflik bersenjata yang berlarutan dengan Rusia sejak Februari 2022 terus memberi tekanan besar terhadap ekonomi negara itu.
Sementara itu, Pakistan dan Ecuador masing-masing menanggung hutang sekitar US$9 hingga US$10 bilion, manakala Mesir berada dalam kelompok lima teratas dengan hutang sekitar US$9 bilion.
Beberapa negara Afrika turut berada dalam senarai 10 negara dengan hutang IMF terbesar. Antaranya ialah Pantai Gading, Kenya, Ghana dan Angola.
Selain itu, Bangladesh turut tersenarai sebagai negara Asia yang masih bergantung kepada pembiayaan daripada IMF.
Situasi ini menunjukkan tekanan ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya. Banyak negara membangun masih berdepan masalah seperti defisit akaun semasa, kejatuhan nilai mata wang serta kenaikan harga makanan dan tenaga yang terus membebankan rakyat dan ekonomi mereka.

Dengan jumlah hutang yang mencecah ratusan bilion dolar, cabaran utama negara peminjam ialah:
Keupayaan membayar balik hutang
Pengurusan defisit fiskal
Kestabilan mata wang
Pertumbuhan ekonomi mampan
Bagi IMF pula, kelancaran pembayaran balik pinjaman adalah penting untuk memastikan institusi itu kekal berupaya membantu negara lain yang menghadapi krisis ekonomi global.
Untuk info, Special Drawing Rights (SDR) ialah aset rizab antarabangsa yang diterbitkan oleh IMF. Nilainya berdasarkan gabungan beberapa mata wang utama dunia, iaitu Dolar Amerika Syarikat, Euro, Yuan China, Yen Jepun dan Pound Sterling British.
Nilai SDR boleh berubah mengikut pergerakan pasaran pertukaran asing global, dan ia digunakan sebagai unit akaun untuk pinjaman IMF.
IMF berperanan membantu negara anggota yang menghadapi krisis ekonomi melalui pinjaman kecemasan, sokongan kestabilan nilai mata wang, reformasi struktur ekonomi dan pemulihan keyakinan pelabur.
Bagi banyak negara membangun, bantuan IMF sering menjadi 'talian hayat' ketika ekonomi berada dalam keadaan kritikal.
Setakat data terkini 2026, Malaysia tidak tersenarai dalam 10 negara dengan hutang IMF terbesar. Malah, Malaysia dipercayai tiada keperluan untuk bergantung kepada IMF kerana kedudukan kewangan negara adalah stabil.