KUALA LUMPUR, 4 Okt – Semua kemasukan pelajar asing baharu dan sedia ada termasuk yang sudah mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia ditangguhkan sehingga 31 Disember ini.
Ketua pengarahnya, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, penangguhan tersebut adalah selaras dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2 Oktober lalu yang menangguhkan pendaftaran dan pengajian secara fizikal bersemuka pelajar Insitut Pengajian Tinggi (IPT) kemasukan Oktober 2020.
“Jabatan ini juga difahamkan bahawa KPT telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan mengenai penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengimbas kembali, KPT menyarankan agar semua IPT menangguhkan dahulu sesi pendaftaran secara fizikal tersebut berikutan berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19 di luar jangkaan berlaku akhir-akhir ini.
Bagaimanapun menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad menjelaskan, pihak KPT sudah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk membuat penjadualan semula tiket penerbangan bagi pelajar-pelajar yang terkandas.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia