Sempat Beri ‘Hint’ Di Facebook, Aktres India Ditemui Mati Dipercayai Akibat Kemurungan

Sha Rossa

Pelakon dan bekas peserta rancangan realiti Big Boss Kannada musim ketiga, Jayashree Ramaiah ditemui mati pada petang Isnin.

Memetik laporan India Today, Jayashree dilaporkan membunuh diri pada malam Ahad sebelum mayatnya ditemui di sebuah rumah tua dan pusat pemulihan di Bengaluru.

Menurut beberapa laporan, Jayashree yang berusia 30 tahun mengalami kemurungan selama beberapa bulan dan telah memberi beberapa petanda untuk menamatkan riwayat hidup di laman sosial miliknya.

“Saya berhenti. Selamat tinggal dunia dan kemurungan ini,” tulisnya pada 22 Jun tahun lalu.

Setelah beberapa lama, Jayashree memadamkan hantaran itu dan menulis, “Saya baik-baik saja dan selamat!! Sayang anda semua.”

Kemudiannya, pada 25 Julai, dia membuat siaran langsung di Facebook untuk meluahkan kepada peminat mengenai kemurungan yang dihidapinya selama ini.

“Saya tidak melakukan semua ini untuk kepentingan publisiti. Saya tidak mengharapkan bantuan kewangan. Saya hanya mengharapkan kematian saya kerana saya tidak dapat melawan kemurungan.

”Saya stabil dari segi kewangan tetapi tertekan. Saya telah melalui banyak masalah peribadi. Saya telah dikhianati sejak kecil dan tidak dapat mengatasinya,” kata Jayashree.

Difahamkan, dia dimasukkan ke rumah ke rumah tua dan rumah pemulihan untuk mendapatkan rawatan penyakit kemurungan yang dialaminya.

Sumber: India Today