semakan sst mof rakyat
Gambar: Bernama

Semakan Semula Peluasan Cukai SST Ambil Kira Maklum Balas Rakyat, Industri – MOF

Iqbal Yasir

Semakan Semula Peluasan Cukai SST Ambil Kira Maklum Balas Rakyat, Industri – MOF

PUTRAJAYA — Kerajaan MADANI kekal bersedia untuk memastikan semakan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bersifat progesif, serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.

Kerajaan telah meneliti dan mengambil kira maklum balas yang dierima daripada rakyat serti pihak industri terhadap peluasan skop SST yang dicadangkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha memahami pandangan akar umbi, Kementerian Kewangan (MOF) juga telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan semalam.

Sehubungan itu, MOF ingin memaklumkan tiga pindaan utama kepada SST yang bakal berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

Selepas meneliti maklum balas berkenaan SST ke atas buah-buahan import, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan.

“MOF ingin menggariskan, Kerajaan MADANI tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.

“Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada cukai jualan ini, sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur.

“Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop cukai perkhidmatan, Perdana Menteri juga memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan Pajakan atau Sewaan serta Perkhidmatan Kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan cukai perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai,” kata kenyataan itu lagi.

Selepas meneliti sentimen awam, Perdana Menteri turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop cukai perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut.

MOF menyeru semua pihak agar membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST.

Orang awam disarankan untuk merujuk pengumuman awam, infografik, perundangan subsidiari, garis panduan, dan soalan lazim (FAQ) yang diterbitkan menerusi saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sumber: MOF